Media Highlight

Harian Metro: Cetus Fenomena Cuaca Ekstrem

Published in : Harian Metro

Kuala Lumpur: Kesan perubahan iklim semakin dirasai di Malaysia yang kini mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di kawasan-kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir, termasuk banjir kilat, pada skala besar serta kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim.


Ketika laporan ini ditulis, beberapa negeri sedang dilanda banjir dengan paling buruk di Johor yang menyaksikan lebih 50,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Sekitar 40,000 orang dilapor masih berada di pusat pemindahan di negeri itu buat masa ini. Bencana bah ini mengakibatkan negara mengalami kerugian ratusan juta ringgit. Pada 2022 misalnya, Malaysia merekodkan kerugian berjumlah RM622.4 juta, iaitu menyamai 0.03 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.


Hujan lebat yang berterusan turut berkecenderungan mencetuskan kejadian tanah runtuh seperti tragedi di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas yang mengorbankan 31 nyawa. Amat penting untuk orang ramai memahami perubahan iklim, namun buat masa ini masyarakat berdepan cabaran dalam mengakses data yang boleh membantu mereka bersedia menghadapi impak fenomena itu. Di mana mereka boleh dapatkan data seperti kawasan berisiko banjir atau unjuran taburan hujan di satu-satu kawasan?


Ketua projek MyIKLIM Database, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Maggie Ooi Chel Gee berkata pengumpulan data tempatan bagi mengunjurkan keadaan iklim untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang amat penting.


“Kita masih bergantung pada data global dan kerja-kerja yang kita lakukan hanyalah berbentuk tanggapan bersandarkan data tersebut. Malah, data tempatan yang disediakan oleh agensi berkaitan juga dihadkan akses kepada orang ramai. Sesetengah data hanya dibuka kepada sarjana bagi tujuan penyelidikan, namun data yang ada juga tidak semuanya sama,” jelas beliau.


Ooi yang juga pensyarah kanan Institut Perubahan Iklim UKM dan merupakan pakar dalam pemodelan kualiti udara, berkata atas faktor itulah MyIKLIM Database dilancarkan sebagai portal kurasi data sehenti bagi perubahan iklim di Malaysia pada 10 Januari lalu.


Klik di sini untuk informasi lanjut.

Post Views: 186